Wednesday 11:16 am, 2nd December 2009
Impak tersendiri Hujan – Berita Harian ditulis oleh Metamobile 2 Komen

HUJAN memberikan persembahan bertenaga.
TERNYATA musim hujan yang membasahi bumi kebelakangan ini tidak sehebat dan ‘segarang’ band Hujan yang satu ini. Penutup siri jelajah kesembilan kumpulan indie mempromosikan album Mencari Konklusi ini ternyata membuatkan segenap ruang di KL Live, Life Centre, Jalan Sultan Ismail tanggal 22 November lalu ‘basah lencun’.
Irama muzik yang diperjuangkan mereka di arus perdana sejak 2006 lalu terus menjadi mukadimah terbaik membuktikan legasi seni Hujan masih kental. Biarpun bermula sedikit lambat daripada waktu yang ditetapkan, ia tidak langsung membuatkan lebih 800 orang penonton termasuk pengikut setia mereka dikenali Raingers angkat kaki.
Disebabkan masalah teknikal yang terjadi, sound check yang sepatutnya dijalankan pada sebelah pagi hanya dapat dilaksanakan pada sebelah petang yakni beberapa jam sebelum konsert berlangsung. Konsert ini menjadi siri terakhir jelajah mereka selain di Singapura, Kangar, Sungai Petani, Pulau Pinang, Taiping, Kuala Terengganu, Kuantan, Melaka dan Kota Bharu.
Mendendangkan seleksi lagu sekitar 20 buah lagu, Hujan terus membuatkan penonton yang hadir melekat dan terpaku. Vokalisnya, Noh memukau dengan lagu yang dipetik daripada album pertama dan terbaru. Antaranya seperti Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada, Obsesi dan Mencari Konklusi.
Malah, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh tidak ketinggalan menyanyikan lagu Mencintaimu dendangan asal Kris Dayanti. Barangkali lagu itu sebagai ruang membuktikan hatinya kini tidak lagi kosong selepas berpisah dengan kekasihnya. Umum juga mengetahui Noh sudah bertemu pengganti.
Bijak mengawal pentas dan penonton, Noh bijak berinteraksi dan menyelit lawak spontan sekali gus memecah keheningan ruang premis hiburan itu. Paling penting persembahan ini berlangsung dengan tenang dan terkawal tanpa mencetus situasi yang tidak diingini.
“Persembahan penutup di lokasi terakhir kami ini memberi impak yang tersendiri dan yang terbaik daripada kami setakat ini. Paling mengujakan, kami mendapat maklum balas ramai pihak yang tidak menyangka Hujan berani untuk mengadakan siri jelajah, yang mana sambutan diberikan peminat juga cukup hebat.
“Sejujurnya kami tidak meletak harapan tinggi melangit dan tak terfikir langsung siri jelajah ini akan berjaya. Siri jelajah ini seperti serampang dua mata di samping mempromosikan album, kami juga dapat berjumpa dengan Raingers dan peminat kami yang berada di luar Kuala Lumpur sebagai tanda terima kasih menyokong kami selama ini,” kata Noh sewaktu sidang media diadakan.
Selain Noh, turut menjadi perhatian ialah kelibat pemain keyboard Hujan yang berasal dari Indonesia, Dimas dan AG Coco (gitaris utama). Apa yang dapat disimpulkan konsert ini dilihat cukup intim dan hasrat Hujan untuk terus berada dekat dengan peminat mereka tercapai.
Di minit akhir persembahan mereka, Noh dan beberapa orang anggota yang lain turut memberanikan diri turun pentas hingga dilambung peminat seperti ombak yang beralun.
Yang pasti siri akhir jelajah ini juga sebagai persediaan bagi Hujan sebelum melangkah ke Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-24 yang bakal berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil 10 Januari depan. Lagu dendangan Hujan, Aku Skandal antara 14 buah lagu yang mara menjadi finalis AJL 24.
Terdahulu konsert yang dihoskan Yasmin Hani ini menampilkan dua band indie, Couple dan DIA (Different In Action) sebagai pembuka tirai persembahan. Konsert yang ditaja Harosa Enterprise dan AlNajwa Productions Sdn Bhd ini turut dihadiri rakan selebriti seperti Nasha Aziz, Scha Alyahya, Natasha Hudson, Ainul Aishah dan Nora.
Popularity: 2% [?]
Tuesday 6:27 pm, 24th November 2009
KL Live Bukti Kehebatan Hujan – Mangga Online ditulis oleh Metamobile 2 Komen

Boleh kata setiap petang Kuala Lumpur didatangi hujan dan warga kota bergelut untuk mengelak daripada basah yang menimpa. Tapi 22 November lepas (semalam) remaja dari pelosok negeri datang ke Kuala Lumpur sengaja ingin menempuh Hujan. KL Live dipenuhi ratusan remaja sejak jam 2 petang lagi untuk menyaksikan band indie popular Malaysia.
Hujan memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bersama Raingers (pengikut setia Hujan) yang sentiasa menghangatkan persembahan Hujan, nyata Konsert Mencari Konklusi meninggalkan impak dalam kelasnya yang tersendiri. Aksi melompat dan tolak menolak, satu situasi biasa yang mewarnai setiap persembahan band indie popular ini.
Raingers nampaknya cukup terpesona dengan aura Hujan yang semakin menjadi-jadi. Mendendangkan hampir 20 buah lagu yang dipetik daripada album pertama dan terbaru Mencari Konklusi seperti Pagi Yang Gelap, Kau Peejak Hatiku Lagi, Bila Aku Sudah Tiada, Mencari Konklusi, Obsesi dan banyak lagi lagu popular Hujan yang turut didendangkan bersama Raingers.
Noh juga semakin bijak berinteraksi dengan penonton dengan lawak spontan dan menghiburkan serta gimik yang romantik apabila lagu Kris Dayanti, Mencintaimu turut didendangkan dalam konsert tersebut.
Nyata konsert terakhir berjaya meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat anggota Hujan sendiri. Masakan tidak, perasaan emosi menguasai seketika tatkala persembahan tamat sekaligus menjadi penutup tirai Konsert Hujan Tour 2009 Mencari Konklusi. Sudah pastinya apa yang diimpikan lima anak muda ini iaitu Noh (vokalis), Dimas (keyboard), AG Coco (gitar utama), Am (drum) dan Izat (bass) tertunai akhirnya.
Couple dan D.I.A (Different In Action) menjadi pembuka tirai persembahan konsert Hujan yang berlangsung di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur. Konsert ini ditaja oleh Harosa Enterprise dan Al Najwa Productions manakala Metadome Sdn Bhd bertindak sebagai publisiti kepada siri jelajah ini. Selebriti ternama juga hadir memberi sokongan seperti Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Ainul Aishah, Natasha Hudson, Nasha Aziz dan Nora.
Popularity: 2% [?]
Wednesday 12:27 pm, 11th November 2009
Konsert Hujan Pada 22 Nov Ini – Gua.Com.My ditulis oleh Metamobile 1 Komen

Seperti kebanyakkan penyanyi/kugiran, Hujan juga mengimpikan konsert secara besar-besaran, di mana ledakan muzik yang mereka bawakan ingin dikongsi dengan para peminat di seluruh negara.
Setelah berjaya membuat konsert di beberapa tempat di seluruh Malaysia dan Singapura, kini Hujan bakal tampil dengan konsert terakhir yang dijadualkan pada 22 November ini, di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur pada jam 3 petang.
Ditemui pada sidang media pengumuman konsert ini, Hujan memberitahu yang mereka berasa cukup bertuah kerana dapat merealisasikan konsert yang memang sudah lama diidamkan mereka. Malah, Hujan turut menjanjikan satu persembahan yang berbeza, yang pasti akan diingati oleh setiap peminat atau Raingers yang hadir.
“Pada malam itu kami akan persembahkan lagu yang akan diselang-selikan dengan tayangan video mengenai kumpulan Hujan, persiapan sebelum dan selepas siri konsert di Singapura dan beberapa tempat di Malaysia,” ujar Dimas.
Ditanya mengenai seleksi lagu yang akan dipersembahkan, Hujan memberitahu kemungkinan mereka akan menyampaikan lebih 20 buah lagu yang dipetik daripada album pertama dan album terbaru, ‘Mencari Konklusi’.
Pada hari itu juga, Couple dan kumpulan yang baru mencuba nasib mereka di dalam industri hiburan, D.I.A (Different In Action) akan beraksi sebagai band jemputan untuk pembukaan. Manakala Yasmin Hani bertindak sebagai pengacara.
Konsert akhir ini telah mendapat penajaan dari dua syarikat bumiputra, Harosa Enterprise dan AlNajwa Productions. Metadome Sdn Bhd pula bertindak sebagai publisiti kepada siri jelajah ini.
Hujan telah mengadakan siri jelajah di seluruh Malaysia bermula di Singapura pada 7 Oktober lalu, diikuti pada 16 Oktober di Universiti Malaysia Perlis, 17 Oktober di Carnivall, Kelab Golf Cinta Sayang, Sungai Petani, 18 Oktober di Hard Rock Hotel, Batu Ferringgi, Pulau Pinang serta Taiping dan Ipoh pada 23 dan 24 Oktober lalu.
Untuk menempah tiket-tiket yang berharga RM15 dan RM20, boleh menghubungi sekretariat konsert Alef (017-2067904), Nana (012-3846990), Jiggy (017-6737507), atau melayari laman web www.hujan.org, www.metamobile.com.my dan email di harosa_ent@yahoo.com.
Popularity: 2% [?]
Wednesday 11:11 am, 11th November 2009
Cara terbaik dekati peminat – Harian Metro ditulis oleh Metamobile 2 Komen

AKHIR-AKHIR ini agak jarang didengar artis mengadakan promosi bergerak atau siri jelajah masing-masing sebagai usaha menghebahkan kehadiran album baru terbitan mereka. Entah apa silapnya, aktiviti sedemikian semakin dilupakan biarpun itu cara terbaik mempromosi dan menjual album baru.
Mungkin disebabkan kekangan bajet atau dalam erti kata lain kegawatan ekonomi menyebabkan siri jelajah dari satu negeri ke satu negeri terpaksa dilupakan. Biarpun begitu, kumpulan band indie, Hujan, menyuntik kembali aktiviti yang kian suram itu dengan mengadakan siri jelajah promosi album terbaru mereka, Mencari Konklusi.
Bermula 16 Oktober lalu, penjelajahan Hujan sudah menggegarkan beberapa tempat iaitu Kangar pada16 Oktober, Sungai Petani (17 Oktober), Pulau Pinang (18 Oktober), Taiping (23 Oktober) dan Ipoh (24 Oktober).
Biarpun begitu, siri jelajah mereka di Kolej Shah Putra, Kuantan (1 November) dan Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (6 November) terpaksa ditunda ke tarikh lain yang akan diberitahu kemudian kerana destinasi berkenaan terbabit dengan musim peperiksaan.
Walaupun sebelum ini perjalanan karier Hujan sedikit sebanyak menimbulkan ketidakpuasan hati sesetengah peminat yang menganggap perjuangan mereka melanggar prinsip ‘underground’ kerana mengejar glamor, itu langsung tidak menggugat sambutan diterima.
Malah kata vokalisnya, Mohamad Noh Salleh atau Noh, 24, sambutan yang diterima di setiap tempat memang di luar jangkaan.
“Awalnya agak risau kalau siri jelajah ini tidak berjaya kerana ada tersebar berita sebelum ini kononnya kami dipulau peminat. Walaupun risau, kami tidak kisah jika yang menonton tidak sampai 10 orang. Bagaimanapun, sambutan diterima amat memberangsangkan. Rata-rata negeri yang kami sudah pergi mengadakan persembahan, memang tidak mengecewakan.
“Apatah lagi, mereka menyanyi bersama kami ketika persembahan membuatkan kami lagi bersemangat untuk beri terbaik. Rasa seronok sangat bila dekat dengan peminat. Disebabkan itu kami amat menghargai sokongan peminat dan mahu memanfaatkan setiap saat peluang itu untuk menghiburkan mereka.
“Cuma, sedikit kesal kerana dua institusi pengajian tinggi yang sepatutnya kami adakan persembahan terpaksa ditunda kerana musim peperiksaan. Perkara ini berlaku di luar jangkaan kami dan sudah tentu agak kecewa. Namun, jangan risau kerana kami akan tetap ke sana mengadakan persembahan. Berkaitan tarikh, ia akan diumumkan kemudian.
“Bagi saya, aktiviti sebegini (siri jelajah) sepatutnya diteruskan lagi. Inilah cara terbaik mendekati peminat di samping mempromosi album baru,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Konsert Jelajah Hujan di Seluruh Malaysia, di KL Live, Life Centre, baru-baru ini.
Kemuncak siri jelajah konsert Hujan bakal menutup tirai dengan menggegarkan pentas KL Live, Life Centre pada 22 November ini, yang secara tidak langsung menghiburkan peminat mereka di sekitar Kuala Lumpur. Mendapat tajaan hasil kerjasama Harosa Enterprise dan AlNajwa Productions, kumpulan yang terkenal dengan lagu Pagi Yang Gelap dan Bila Aku Sudah Tiada bakal memberikan suatu kelainan dan terbaik berbanding sebelumnya.
“Oleh kerana konsert di Kuala Lumpur adalah destinasi terakhir, sudah tentu persembahan yang akan diberikan lagi hebat dan menarik. Malah, segala persiapan dan persediaan sudah kami lakukan sejak dari awal lagi. Persembahan di Kuala Lumpur, akan kami buat seperti konsert penuh.
“Antaranya, persembahan multimedia yang memaparkan visual sepanjang siri jelajah konsert kami, dari segi teknikal seperti pencahayaan, sistem bunyi dan pelbagai lagi supaya dapat beri yang terbaik untuk hiburkan peminat. Dalam masa satu jam setengah, kami akan hiburkan peminat dengan 15 atau 20 lagu. Persembahan yang bermula jam 3 petang itu sudah tentu berbeza, tetapi lihatlah nanti satu kejutan untuk mereka yang banyak menyokong karier Hujan selama ini,” katanya.
Selain itu, kumpulan band baru yang menggelarkan mereka sebagai D.I.A. (Different In Action) dan Couple, akan beraksi sebagai band jemputan untuk pembukaan. Tiket yang berharga RM15 dan RM20, boleh didapati dengan menghubungi sekretariat konsert di talian 017-2067904/012-3846990/017-6737507 ataupun melayari laman sesawang www.hujan.org.
Popularity: 2% [?]
Friday 2:47 pm, 6th November 2009
HUJAN – Konsert Mencari Konklusi, Live Centre, Kuala Lumpur ditulis oleh Metamobile 1 Komen

Sebagai satu kumpulan yang paling diminati di negara ini, HUJAN pasti mengimpikan konsert secara besar-besaran. Ledakan muzik yang mereka bawakan juga mahu dikongsi kepada para peminat diseluruh negara. Setelah berjaya membuat konsert di beberapa tempat di seluruh Malaysia dan Singapura kini HUJAN bakal tampil dengan konsert mereka yang terakhir yang dijadualkan berlangsung pada 22 November 2009 bertempat di KL Live, Life Centre, Kuala Lumpur pada 22 November 2009 jam 3 petang.
Menariknya konsert terakhir ini telah mendapat penajaan dari dua syarikat bumiputra Harosa Enterprise dan AlNajwa Productions. Metadome akan bertindak selalu publisiti kepada siri jelajah ini. HUJAN telah mengadakan siri jelajah di seluruh Malaysia bermula di Singapura pada 7 Oktober lalu, diikuti pada 16 Oktober bertempat di Universiti Malaysia Perlis, Kangar, 17 Oktober di Carnivall, Kelab Golf Cinta Sayang, Sungai Petani, 18 Oktober di Hard Rock Hotel, Batu Ferringgi, Pulau Pinang. Seterusnya mereka akan ke Taiping dan Ipoh pada 23 dan 24 Oktober.
HUJAN yang ditemui pada sesi sidang media pengumuman konsert ini, mereka berasa amat bertuah kerana mendapat penajaan bagi konsert terakhir ini. Menurut Dimas “Kami amat berbesar hati dengan 2 syarikat ini sudi mengikuti konsert jelajah ini. Sebelum ini ada beberapa syarikat pengurus acara datang untuk membantu kami pada siri konsert ini, namun begitu kami tidak berpuas hati dengan hasil mutu kerja yang diberikan’. Menurutnya lagi “dengan adanya Harosa dan AlNajwa, ia mampu merealisasikan impian konsert kami di Kuala Lumpur.”
Ketika ditanya oleh pihak media kelainan yang akan dibawa pada konsert di Kuala Lumpur. HUJAN akan membuat kelainan di dalam persembahan mereka di konsert terakhir ini dan menjanjikan kenangan manis buat peminat-peminat atau Raingers yang hadir nanti. dimana pada setiap lagu yang dipersembahkan akan diselang-selikan dengan tayangan video mengenai kumpulan HUJAN, persiapan sebelum dan selepas siri konsert mereka di Singapura dan beberapa tempat di Malaysia.
Ditanya mengenai seleksi lagu yang akan dipersembahkan, berkemungkinan lebih 20 lagu akan dinyanyikan dari album yang pertama dan album mereka yang terbaru – Mencari Konklusi. Pada hari itu juga, Kumpulan band yang baru mencuba nasib mereka di dalam industri hiburan iaitu D.I.A (Different In Action) dan Couple akan beraksi sebagai band jemputan untuk pembukaan. Manakala Yasmin Hani bertindak sebagai pengacara.
Bagi wakil Harosa sendiri, mereka menyifatkan HUJAN mempunyai potensi untuk pergi lebih jaug didalam industri muzik bukan sahaja di Malaysia malah die luar Negara. Noor Hanyta wakil Harosa “ harapan kami agar konsert terakhir ini akan berjalan dengan lancar dan jika ia berjaya, jika berjaya, kami bercadang untuk membawa HUJAN mengadakan konsert di Sabah & Sarawak juga ke US dan Indonesia”.
Untuk menempah tiket-tiket yang berharga RM15 dan RM20, boleh menghubungi Sekretariat konsert Alef (017 – 2067904), Nana (012 – 3846990), Jiggy (017 – 6737507), atau boleh melayari di laman web www.hujan.org, www.metamobile.com.my dan email di harosa_ent@yahoo.com.
Mengenai Harosa Enterprise
Harosa Enterprise ialah sebuah syarikat pengurusan acara dan bertindak sebagai pengurus acara bagi konsert tersebut. Harosa Enterprise sudah beberapa kali mengendalikan acara-acara konsert, makan malam, sambutan hari ibu dan amal kebajikan.
Mengenai AlNajwa Production
Pihak AlNajwa Productions Sdn Bhd merupakan penaja utama konsert ini dan telah di berikan hak penyiaran eksklusif. AlNajwa Productions Sdn Bhd ialah sebuah syarikat produksi yang sudah tidak asing lagi di dalam industri penyiaran dengan hasil produksi mereka seperti Mawi di Bumi Anbia dan Mawi @ Sydney yang telah disiarkan di stesen berbayar, ASTRO.
Mengenai Metadome Sdn. Bhd.
Metadome Sdn. Bhd. merupakan satu-satunya Penyedia Kandungan Mobile (Content Provider) yang menceburi bidang rakaman muzik digital. Metadome kini bekerjasama dengan artis-artis seperti The Fabulous Cats, Nurul, Liyana Jasmay, Imran Ajmain, Zhana, dan Han OIAM. Syarikat ini juga turut mengedarkan album Afgan, Chandra dan Anggun. Dan juga mengedarkan seluruh repetior syarikat EMI Indonesia, Satu Entertaiment, Neo Gendang dan lain-lain. Antara artis-artis Indonesia dibawah syarikat rakaman EMI Music Indonesia terdahulu ialah Dewa 19, Mulan Jameela, Ada Band, Andra & The Backbone, The Titans, Five Minutes, Radja, Tahta, Kapten, Naif, Repvblik, Ten 2 Five, The One, dan The Rock.
Popularity: 3% [?]
Wednesday 4:59 pm, 4th November 2009
Konsert Hujan @ Kuala Lumpur! ditulis oleh Metamobile 1 Komen
Popularity: 4% [?]
Friday 3:15 pm, 30th October 2009
Hujan Tour 2009 – Tunda ditulis oleh Metamobile none Komen
Hujan Tour 2009 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Terengganu dan Kuantan terpaksa ditunda ke tarikh yang akan diberitahu kelak. Lokasi-lokasi lain akan berlangsung seperti biasa.
Harap Maklum.
Popularity: 2% [?]
Thursday 12:10 pm, 29th October 2009
Hujan Tour 2009 – Kuantan ditulis oleh Metamobile 1 Komen
Thursday 12:06 pm, 29th October 2009
Hujan Tour 2009 – Terengganu ditulis oleh Metamobile 1 Komen
Thursday 2:15 pm, 15th October 2009
Hujan – Mencari Konklusi Tour 09 Singapura ditulis oleh Metamobile none Komen

7 Oktober 2009 merupakan tarikh bersejarah bagi kugiran Hujan. Ini adalah kerana, buat pertama kalinya kugiran ini berjaya menerobos angkasa muzik di Singapura. Mereka telah mengadakan konsert mereka yang pertama di kota Singa dan lokasinya adalah di The Republic Polytechic Cultural Central, Woodlands.

Pada hari konsert berlangsung, muzik HUJAN bukan sahaja dinikmati oleh rakyat republik itu, malah peminat-peminat Malaysia turut membanjiri konsert kumpulan ini yang baru sahaja melancarkan album kedua mereka berjudul Mencari Konklusi.
Konsert yang bermula tepat jam 7.30 malam itu telah dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh kugiran jemputan dari Singapura iaitu The Marylins. Seterusnya HUJAN mengambil tempat dengan menyampaikan lagu-lagu popular dari album yang pertama dan kedua. Antara lagu-lagu yang dipersembahkan ialah Bila Aku Sudah Tiada, Pagi Yang Gelap, Mencari Konklusi, Romantik, Obsesi dan banyak lagi.

HUJAN sempat ditemuramah ketika berada di sana. Sesi bertemu media telah diadakan pada hari pertama mereka di Singapura iaitu 6 Oktober 2009 di Café Badoque. Media dari Radio Ria 89.7 FM, The Straits Times, sungguh.com dan lain-lain telah datang untuk membuat liputan mengenai siri jelajah ini. Selesai sesi bertemu media pada sebelah malamnya, Hujan ke sesi temuramah selama satu jam bersama Ria 89.7FM. Kugiran Hujan turut disertai krew Remaja dari TV3 yang membuat liputan konsert Hujan ‘Live’ di Singapura.

Selesai Singapura, HUJAN akan meneruskan siri jelajah ini di Malaysia. Lokasi adalah seperti berikut:
- UNIMAP, Kangar, Perlis (16/10/2009)
- Carnivall @ Ci Sayang Golf, Sungai Petani, Kedah (17/10/2009)
- Hard Rock Hotel Batu Feringhi, Pulau Pinang (18/10/2009)
- SSL Traders Hotel, Taiping, Perak (23/10/2009)
- Dewan Silver Heritage, Ipoh, Perak (24/10/2009)
- Kuala Ibai golf Club, Kuala Terengganu (31/10/2009)
- Kolej Shah Putera, Kuantan (1/11/2009)
- Universiti Multimedia, Melaka (08/11/2009)
- Dewan Yayasan Kemiskinan Kelantan, Kota Bharu (14/11/2009)
- Live Center, Kuala Lumpur 922/11/2009)
Konsert akan bermula pada 3 petang dan tiket berharga RM15.00 kecuali di Sungai Petani (RM20.00). Untuk keterangan lanjut sila layari www.metamobile.com.my , www.hujanband.com atau www.hujan.org”
Kredit photographer : Fad Manaf
Kredit teks: Diba Shami
Galeri Hujan @ Singapura – Klik Sini!
Popularity: 3% [?]






















